Jumaat, 4 Disember 2009

Kursus PGSR Ambilan 2008

Kepada Penyelaras PGSR di BPG.
Saya merupakan penyelaras kursus PGSR ambilan 2008 di peringkat IPG. Kini mereka sedang menduduki peperiksaan Semester 2, dan mulai 10 Disember 2009 ini, mereka akan memasuki Semester 3. Mereka akan mengambil beberapa kertas baharu. Malangnya, sukatan mahupun modul untuk Semester 3 belum lagi dihantar ke IPG. Saya telah menghubungi pihak penyelaras di BPG beberapa kali, namun panggilan saya tidak pernah bersahut. Ini menjadi bebanan kepada saya kerana pensyarah yang ditugaskan mengajar kertas-kertas berkenaan datang bertanyakan kepada saya, sedangkan saya sendiri habis cara berusaha mengatasinya.
Saya sangat berharap agar pihak penyelaras PGSR di BPG dapat menghantar segera sukatan dan modul PGSR semester 3 bagi ambilan PGSR 2008.
Sekian

Selasa, 1 Disember 2009

e-Perjawatan BPG

Kepada Pengendali e-Perjawatan BPG.
Saya telah memasuki e-Perjawatan beberapa hari lepas. Ada sedikit kesukaran kerana kekeliruan pada butang mana perlu diklik. Saya ada beberapa idea untuk penambahbaikan.
Pertama, gambar yang diupload didapati tidak kekal pada ruangan disediakan, walaupun telah diklik butang 'kemas kini.' apabila disemak pada hari lain, didapati gambarnya hilang dan tidak kelihatan. Bolehlah tuan membaiki agar gambar yang dimasukkan kekal selamanya.
Kedua, tiada ruangan sumbangan kepakaran, sebagaimana ruangan Kokurikulum. Ramai kakitangan BPG / IPG yang memberi syarahan atau membentang kertas kerja di seminar. malangnya, tiada ruangan kursus untuk dimuatkan sumbangannya itu.
Ketiga, perbanyakkan ruangan penulisan yang meliputi penulisan ilmiah / kajian, penulisan artikel, penulisan kreatif, dan buku yang diterbitkan.
Cadangan kedua dan ketiga itu menggambarkan IPG sebagai institusi ilmu, bukannya institusi latihan biasa.
Keempat, butang logout sukar dicari menyebabkan penggunakan tidak logout setelah memasukinya.
Sekian.

Isnin, 30 November 2009

JSU dan Soalan Peperiksaan

Tulisan ini menyentuh berkenaan sukatan pelajaran PPISMP / PISMP / KPLI / KDPM bagi subjek di IPG, penentuan JSU dan pembinaan soalan peperiksaan. Saya dapati sejak dua tiga tahun ini, tajuk dan subtajuk yang dicatatkan dalam JSU adalah tidak selari dengan tajuk dan subtajuk yang dicatatkan dalam JSU. Ada tajuk yang dicatatkan dalam JSU tidak disenaraikan dalam sukatan pelajaran subjek berkenaan. Ada kalanya subtajuk bagi Kertas 1 misalnya tersenarai dalam Kertas 2 subjek berkenaan.
Demikian juga binaan soalan, yang sepatutnya berdasarkan JSU. Ada kalanya (setiap semester ada saja soalan sesat) soalan yang ditanya tidak berkenaan langsung dengan tajuk atau subtajuk bagi subjek berkenaan. Ada juga soalan yang keluar dalam Kertas 1 misalnya, diambil daripada tajuk / subtajuk yang terdapat dalam Kertas 2.
Saya sendiri, ketika menjadi ketua pemeriksa, telah beberapa kali melaporkan kepelikan ini dalam borang laporan moderasi peperiksaan. Malangnya, laporan dan aduan saya itu bagai menangkap angin. Tiada apa perubahan kerana pada semester berikutnya, masalah yang sama berulang.
Guru Pelatih telah beberapa kali mengadu, dan apa yang kami dapat atasi ialah berjanji akan memberitahu pihak Unit Peperiksaan dan Penilaian BPG. Kami mengadu melalui Ketua-Ketua Jabatan, SUP, namun sia-sia kerana tiada perubahan positif.
Pihak SUP BPG boleh menyemak JSU dan soalan peperiksaan semester. Misalnya, bagi Program PPISMP. Silalah semak, semoga kesilapan sama tidak terus berulang.

Ahad, 22 November 2009

TAHNIAH KPM

Saya mengucapkan tahniah kepada KPM, khususnya TS Muhyidin Yassin, kerana memansuhkan PPSMI. Percayalah bahawa isu PPSMI merupakan antara faktor yang akan memusnahkan rakyat, khususnya orang Melayu. Saya juga berharap, Tan Sri kekal dengan keputusan itu, tidak bersikap berdolak-dalih sebagaimana DS Hishamuddin Tun Hussein. Kami hilang kepercayaan terhadap DS Hishamuddin Tun Hussein.

Pemansuhan PPSMI juga menepati konsep 1 Malaysia. Sudah tentulah antara ciri 1 Malaysia ialah 1 bahasa, dan bahasa itu ialah bahasa Melayu. Kami akan menyokong selagi ia memberi manfaat kepada generasi muda seperti kami ini.